Anak Kerbau 2011

Anak Kerbau 2011

Jalur 2011

Jalur 2011

Kandang

Kandang

Sunday, April 25, 2010

Jasa Orang Tua

Kami di Lipat Kajang Farm mengucapkan berbanyak terima kasih dan mendoakan kedua-dua ibabapa kami di panjang dan umur dan di sihatkan kesihatan oleh Allah (SWT) sentiasa. Kami amat menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh kedua-dua orang tua kami dalam menjayakan projek ternakan kerbau di Lipat Kajang.

Di awal perancangan memang terdapat pergeseran di sana-sini almaklumlah kita berurusan dengan orang lama yang lebih matang dan lebih arif dalam selok-belok menternak kerbau walaupun tanpa sebarang panduan dan teknik penternakan daripada buku dan internet. Kami bermula dengan membersihkan kawasan, menebang pokok-pokok buah-buahan yang lama dan segala pokok yang tidak berhasil untuk dijadikan kawasan ternakan kerbau. Kemudiannya memerun ataupun membakar batang-batang pokok dan kayu-kayan seterusnya meratakan tanah untuk kawasan ragutan. Diikuti pula dengan longkang-longkang untuk tanaman rumput yang kami ceduk daripada pengalaman di televisyen dan internet.

Di awal pemeliharaan kerbau-kerbau secara berkurung ataupun semifidlot ini adalah amat memenatkan dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang kental kerana kerbau-kerbau ini amat kuat tenaga dan kegarangannya. Disini kami amat berbangga kerana kedua-dua ibubapa kami amat meminati dan mendahului kami dalam ilmu kekerbauan. Kami menceduk dan menjalani latihan praktikal bergandingan dan bersama-sama dengan kedua-dua ibubapa kami untuk menjayakan projek ternakan kerbau ini.

Walaupun pada mulanya memang kami melalui jalan buntu dan kerbau-kerbau tersebut tidak boleh menerima dengan sistem semifidlot ini yang mengakibatkan kematian dan kekurangan makanan, kami hampir memutuskan untuk membuat plan B iaitu menternak kambing pula. Tetapi setelah berusaha dengan cara pemakanan dan menanam rumput dan memelihara kerbau-kerbau yang sudah biasa berkurung, maka hasilnya amat menggalakkan. Sehingga tahun 2010 kami alhamdullillah tidak mengalami sebarang masalah dengan kerbau-kerbau dan pembiakan kerbau-kerbau juga amat memberansangkan.

Oleh itu untuk menjayakan sesuatu projek kita hendaklah mendapatkan restu dan sokongan kedua-dua ibubapa supaya projek yang kita laksanakan itu akan mendapat keberkatan dan kejayaan yang seperti kita rancangkan. Lebih afdal lagi sekiranya kita ajak kedua-dua ibubapa kita bergandingan dan bersama-sama dengan kita untuk menjayakan projek tersebut. Kadang-kadang kita terlepas pandang bahawa kedua-dua ibubapa kita sudah tua mana ada kekuatan dan ketahanan serta mana ada ilmu untuk mengusahakan projek semacam ini. Kami di Lipat Kajang Farm juga pada mulanya pun begitu tetapi setelah menjalani dan melaksanakan projek tersebut bersama-sama dengan kedua-dua ibubapa maka baru kami dapati bahawa kerbau-kerbau tersebut amat serasi dengan mereka.

Di Lipat Kajang kita mempunyai berbagai-bagai jenis aktiviti yang boleh menghasilkan duit. Kami amat berbangga dengan kejayaan Tam anak arwah aki chan yang boleh dikatakan berjaya dalam bidang yang diceburi sehinggakan boleh mengajikan anak-anak muda tempatan bekerja dengannya. Ini adalah contoh yang perlu kita contohi dalam memajukan diri kita kearah bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lama dan beribatkanlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok.

Terima kasih abah dan emak kerana membantu menjaga dan memberi kerbau-kerbau makan, membuang najis kerbau dan menanam rumput. Semoga Allah (SWT) kurniakan kesihatan dan panjangkan umur abah dan emak untuk melihat kejayaan Lipat Kajang Farm di masa hadapan.

Lias Marzuki
26/4/2010

Sunday, April 4, 2010

MUSIM KEMARAU 2010

Pada musim kemarau sebelum 2010 adalah lebih teruk kepada kerbau-kerbau di Lipat Kajang Farm. Ini adalah kerana kami tidak dapat menyediakan rumput-rumput yang sesuai untuk menjadi makanan kerbau-kerbau tersebut. Rumput-rumput ragut habis kering, rumput-rumput dalam paya pun habis. Kami pada ketika itu masih belum menanam rumput napier secara sistematik tetapi hanya sekadar untuk membanyakkan benih napier yang terdiri daripada napier india, napier pendek, napier gajah dan napier negro.

Apabila kami melalui musim yang perit di tahun 2008, maka kami memulakan tanaman rumput napier kerana kos makanan telah melambung tinggi sehingga mencecah RM40-00 seguni (50 kg) makanan pellet ternakan (lembu & kerbau). Kalau 1 tan bermaksuk 25 bag maka harganya adalah RM1,000-00 tak termasuk kos perjalanan & pengangkutan. Oleh itu untuk mengatasi situasi yang kritikal tersebut Lipat Kajang Farm telah mengarahkan membuat longkang-longkang di dalam tanah-tanah di hadapan sekolah dan balai raya untuk dijadikan batas bagi tanaman rumput napier.

Hasilnya pada tahun 2009 kami telah dapat mengatasi situasi kritikal tersebut dan kerbau-kerbau lebih serasi dan menunjukkan peningkatan dari segi pertumbuhan dan pembiakan. Pada tahun 2008 kami memperolehi 2 ekor anak kerbau daripada 2 ekor ibu. Pada tahun 2009 kami mendapat 3 ekor anak kerbau daripada 3 ekor ibu. Ini bermakna rumput napier memainkan peranan yang amat penting bagi pertumbuhan dan pembiakan kerbau-kerbau di Lipat Kajang Farm.

Alhamdulilah kami telah mendapat formula tersebut dengan memberi rumput napier kepada kerbau-kerbau tersebut. Ianya nampak lebih mantap dan kenyang sepanjang masa. Apabila kerbau-kerbau dimasukkan ke dalam kandang, kerbau-kerbau tersebut tidak diberikan makanan tambahan tetapi dibiarkan puasa untuk malam itu sehingga subuh besok baru di berikan makanan rumput napier semula. Ini menjadikan kerbau-kerbau tersebut lebih berselera kerana sajian makanan "breakfast" telah menunggu kerbau-kerbau tersebut apabila keluar daripada kandang.

Oleh itu kepada penternak-penternak di Lipat Kajang baik lembu ataupun biri tanamlah rumput napier supaya lembu dan biri anda akan lebih berharga serta sihat dan senang untuk membiak. Ianya juga dapat mengelakkan musim kemarau yang sedang melanda kita sekarang. Kekurangan rumput di merata tempat memang tidak dapat di nafikan. Kita mesti memberikan makanan yang berkualiti untuk ternakan kita barulah kita dapat barang berkualiti dan apabila hendak di jual kepada peraih kita akan mendapat harga yang tinggi.

Lias Marzuki
4/4/2010