Anak Kerbau 2011

Anak Kerbau 2011

Jalur 2011

Jalur 2011

Kandang

Kandang

Monday, December 21, 2009

Pembiakan Ternakan Kerbau

Pada dasarnya ternakan kerbau memang mengambil banyak inisiatif dan tenaga serta kegigihan tersendiri untuk mejayakannya. Kerbau dengan tanduk, garang dan besarnya adalah lebih ganas dan bahaya daripada lembu dan lain-lain haiwan ternakan. Walaupun bagaimanapun berkat dan tunjuk ajar daripada ayahanda, Nong Zuki dan Bonda, Teh Zuiah maka perkara yang mustahil menjadi kenyataan dan kerbau-kerbau peliharaan Lipat Kajang Farm bukan sahaja boleh di belai tetapi juga boleh ditunggang.


Dari segi makanan kerbau pula, Lipat Kajang Farm telah berjaya menanam rumput napier untuk menambah keberatan dan pertumbuhan kerbau selain daripada garam jilat dan lain-lain makanan. Kebergantungan kepada pellet juga menjadi sifar kerana dengan pemberian rumput napier kerbau-kerbau itu menjadi lebih cergas, kental dan tahan lasak. Perancangan tahun 2010 adalah untuk menambah penanaman rumput napier bagi menampung pembesaran, pertumbuhan dan kecergasan kerbau serta bagi menjamin kualiti daging yang bermutu tinggi. Lipat Kajang Farm tidak pernah menggunakan sebarang hormon dan ubat-ubatan untuk menaikkan berat badan dan pertumbuhan kerbau.


Dari segi pembiakan pula nampaknya kerbau-kerbau yang dipelihara secara semi-fidlot adalah lebih senang untuk di jaga ketika peringkat bunting, kelahiran anak dan pembesaran anak. Diperingkat bunting kerbau perlu makanan yang dan berkhasiat. Tanpa makanan yang banyak dan berkhasiat kebuntingan kerbau tersebut akan terbantut dan sudah tentu anaknya juga akan terbantut. Tetapi sekiranya makanannya mencukupi dan berkhasiat diperingkat kebuntingan maka kita akan dapat anak yang sihat dan segar bugar. Apabila tiba keperingkat kelahirannya kelak kita mesti memberi makanan yang lebih daripada biasa kerana di peringkat ini kerbau akan makan-makan tanpa henti sehingga perutnya akan mengembang macam hendak meletup. Kita mesti ingat bahawa dengan makanan yang mencukupi dan berkhasiat ianya akan menjadi makanan anaknya di dalam perut serta menjadi susu untuk kelahiran anak kerbau itu kelak.

Kami di Lipat Kajang Farm telah melalui proses tersebut dengan jayanya dan pertumbuhan, pembesaran kerbau-kerbau itu amat meberansangkan dan anak-anak yang di lahirkan setakat ini amat segar dan bugar.

Wednesday, September 30, 2009

Petua Rawatan Tradisional Untuk Ternakan

1. Masalah Kutu

GARAM 1/2 kg & air 1/2 baldi. Campurkan sehingga larut. Campuran ini digunakan sebagai bahan mandi atau
DAUN BETIK. Beberapa helai daun betik yang muda diambil dan digunakan untuk menggosok ke bahagian badan ternakan yang dijangkiti kutu atau
ABU. Ambil abu kayu api dan gosokkan pada badan ternakan. Nescaya kutu-kutu yang ada akan mabuk & jatuh ke tanah. Kutu-kutu ini boleh dibakar kemudian atau direndam dalam minyak tanah.

2. Kecacingan

MINYAK MARGOSA. 150 ml (1/2 botol) diberi kepada anak-anak ternak berumur 6 bulan hingga 1 tahun atau
KICAP. Sebanyak 350 ml kicap diberi minum kepada ternakan atau
BUAH PERIA. 2 biji buah peria diberi makan kepada tiap-tiap seekor ternakan yang kurus kerana cacing atau
PUCUK BETIK. Pucuk Betik beberapa kali digunakan bagi mengubati/menghapuskan cacing.

3. Uri Melekat

BATU. Menggantungkan batu @ benda-benda yang berat dihujung uri yang telah keluar.
DAUN BULUH MUDA. 300-600 gm daun ini ditumbuk hingga hancur kemudian dicampur dengan air diberi minum.
KULIT BUAH NENAS. 1 kati (600 gm) @ lebih kulit nenas diberi makan kepada ternakan. Perlu diberi setiap hari selama 2-3 hari.

4. Termakan Racun

1/2 kg ASAM JAWA dicampurkan dengan 1 liter air selepas diramas asam jawa, buang isi dan bijinya dan tapis. Campur 250 gram garam sebelum diberi minum atau
6 auns MINYAK MASAK @ minyak Jarak diberi minum atau
AIR KELAPA (10 biji) yang muda diberi minum. INi diikuti dengan kerap kali memberi minum 20 biji telur (bahagian putih sahaja).

5. Kembung

HALIA. Ambil 1/2 kg halia, buang kulit kemudian diparut atau ditumbuk. Airnya diambil & diberi minum. Dalam keadaan biasa sekali pemberian adalah mencukupi. Jika tidak sembuh, diberi minum lagi sehingga sembuh atau
ASAM JAWA. Ambil asam jawa dan campurkan dengan air, diperah dan ditapis dan airnya di ambil dan diberi minum atau
INGU. 50gm ingu diambil & ditumbuk hingga halus kemudian dicampurkan dengan air campuran ini diberi kpeada ternakan yang terlibat atau
MINYAK KELAPA. Minyak kelapa @ sebarang minyak masak boleh digunakan untuk melawan kembong. Satu botol minyak (500 ml) diberi minum atau
OMATHANI. Air ubat India ini diberi sebanyak 6 auns dua kali sehari.

6. Cirit Birit

BUAH PINANG. 5 biji buah pinang muda yang dikupas kulitnya dicampurkan dengan gambir. Kedua-dua bahan dicampurkan dan ditumbuk. Diberi makan @ minum kepada ternakan yang sakit. Buat sekali sehari selama 3 hari atau
DAUN JAMBU BATU. 20 helai daun ini dipetik dari pokok ditumbuk @ digiling hingga lumat/hancur. Kemudian diberi minum sekali sehari selama 2-3 hari atau
BUAH CIKU. 5 biji buah ciku yang masih muda diambil & diparut/tumbuk hingga lumat/hancur. Kemudian diberi minum sekali sehari selama 2-3 hari atau
BUAH LIMAU. Perah 3 biji limau nipis & campur air limau dengan 4-6 auns susu lembu yang mentah & diberi 2 kali tiap-tiap hari atau
DADIH MASAM. 4 auns dadih masam diberi kepada anak

Monday, February 16, 2009

TERNAKAN KERBAU

Kami telah menternak kerbau jenis "swamp water buffalo" selama dua (2) tahun secara semi-fidlot (malam kurung siang lepas dalam kawasan ragutan). "Riverine water buffalo" diternak lebih untuk susu daripada daging. "Swamp water buffalo" ini adalah jenis yang bekerja di sawah-sawah padi dan kebanyakkannya di ternak untuk dagingnya. Pada hari siang kerbau-kerbau akan dilepaskan "grazing" dalam padok-padok (sedang dalam pembinaan) dan berkubang dan sebelah malam akan di kurung di dalam kandang yang dibina untuk menempatkan kerbau-kerbau tersebut. Kerbau-kerbau mengambil banyak makanan terutama rumput. Kerbau-kerbau perlu juga di berikan makanan tambahan (pkc) dan garam jilat.

Bagi menjimatkan kos, kami telah menanam rumput (napier atau guinea) secara besar-besaran untuk mengurangkan kos pemakanan kerbau-kerbau tersebut. Kerbau makan memang banyak sekiranya lembu makan setengah guni, kerbau akan makan satu guni atau satu setengah guni rumput. Satu perkara yang bagus ialah penyakit memang susah hendak hinggap terutama penyakit hawa ataupun kuku dan mulut. Tetapi kami mengambil jalan pencegahan dengan memohon pertolongan Jabatan Haiwan memberi vaksin penyakit selepas musin tengkujuh. Kerbau-kerbau amat suka berkubang dan tahan dalam sebarang keadaan cuaca dan persekitaran. Semak-samun hendaklah di biarkan untuk kerbau-kerbau ini bebas meragut dan membersihkan tubuh badannya daripada lalat, lintah dan sebagainya. Perkara yang amat penting bagi kerbau-kerbau ialah kandang, rumput dan tempat untuk berkubang.

Daging kerbau paling rendah kandungan lemah dan kolestrol dan lebih tahan pejal daripada daging lembu. Kami telah mencuba menyimpan daging kerbau dan daging lembu dalam peti sejuk berbalut dengan plastik pembalut. Daging kerbau masih kemerahan dan pejal tetapi daging lembu sudah keputihan dan lembik.

Pembiakannya setahun seekor dan ianya banyak bergantung kepada faktor pemakanan dan pejantan (stud). Sekiranya pemakanannya cukup dan pejantan (stud) ada maka sudah pasti akan bunting kerana kerbau-kerbau betina naik syahwat pada hari ke 21 pada setiap bulan setelah berumur dua (2) atau tiga (3) tahun. Pejantan pula akan naik syahwat setelah berumur tiga (3) tahun.

Anak-anak kerbau perlu di jaga dengan baik bermula daripada hari pertama sehingga mencapai umur tiga (3) bulan terutama sekiranya kelahiranya adalah di musim tengkujuh. Pada 2 minggu pertama, anak-anak kerbau tersebut di larang sama sekali berkubang kerana di takuti di jangkiti oleh cacing kerana tali pusatnya belum kering. Selepas masuk minggu ketiga, anak kerbau tersebut akan dilepaskan bersama-sama ibunya untuk makan rumput "graze" di padok-padok ataupun berkubang tetapi ibunya akan di beri makanan rumput tambahan bagi memperbanyakkan susunya. Susu ibu kerbau adalah penting untuk pertumbuhan anak-anak kerbau sekiranya kurang susu maka kita hendaklah mengambil anak-anak kerbau tersebut untuk diberikan susu campuran bagi memantapkan pertumbuhannya.

Kami bermula pada 2007 dengan:-
2 induk, 1 anak (betina) dan 1 jantan (bujang) dan 1 (dara).
Setakat 14/10/2009 kami ada:-
4 induk
1 pejantan (stud)
2 jantan (bujang) - cukup umur untuk kenduri kahwin/aqiqah & korban
4 dara
4 anak (jantan)
1 anak (betina)

Kami ingin menghasilkan daging kerbau yang dikenali mutunya dan keenakannya. Pasaran daging amat luas dan permintaan terhadap daging kerbau sentiasa meningkat maka persoalan pasaran tidak menjadi halangan untuk penternak memasarkan hasilnya di pasaran di seluruh Malaysia.